Passive and active system in the buildings

Monday 30 April 2018

Tangga Keselamatan..

Salam satu malaysia...

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai tangga keselamatan. Tangga keselamatan terbahagi kepada 2 jenis iaitu tangga terlindung atau tangga terbuka. Tangga terlindung ertinya sesuatu tangga yang diasingkan daripada bangunan yang menggunakannya oleh dinding sekat yang mempunyai TKA tidak kurang daripada setengah jam dan yang semua ruang buka dalam dinding sekat itu dipasangkan dengan lampu tetap dan pintu menutup sendiri yang tiap-tiap satunya mempunyai TKA tidak kurang daripada setengah jam.


Apa pula tangga menentang kebakaran? Tangga menentang kebakaran ertinya sesuatu tangga yang diuntukkan sebagai jalan masuk yang diiktiraf ke dalam bangunan untuk pegawai bomba jika berlaku sesuatu kebakaran.

Jenis tangga terbuka seperti tangga luar. Tangga luar ertinya sesuatu tangga yang terbuka sepenuhnya kepada udara luar dan pada sekurang-kurangnya dua sisi daripada paras sebelah atau pelepar ke sebelah bawah larian tangga yang sebaik-baik sahaja di atasnya. Mana-mana tangga luar yang dipasang kekal adalah diterima sebagai suatu tempat keluar yang dikehendaki di bawah keadaan yang sama seperti tangga dalam. Dengan syarat bahawa tangga itu hendaklah mematuhi semua kehendak bagi tangga dalam. Tangga luar hendaklah diasingkan daripada bahagian dalam bangunan itu dengan dinding dan pintu api yang mempunyai kadar ketahanan api yang sama sebagaimana dikehendaki bagi tangga dalam.

Menurut UUK 106(1), tinggi sesuatu anak tangga itu hendaklah tidak lebih daripada 180 mm dan jejaknya tidak kurang daripada 255 mm dan dimensi-dimensi ketinggiannya dan jejaknya tangga yang dipilih hendaklah seragam dan bersamaan seluruhnya.


Lebar sesuatu tangga itu hendaklah mengikut UUK 168. Lanjar pelantar hendaklah tidak kurang daripada lebar anak tangga itu. 

Okla cukup untuk kali ini.. jumpa lagi..

Wednesday 25 April 2018

Tangga Tunggal (single staircase)

Salam satu malaysia..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai tangga tunggal.. Menurut UUK 194, suatu tangga tunggal boleh dibenarkan dalam mana-mana bangunan yang tinggi tingkatnya yang tertinggi sekali tidak melebihi 12 meter. Dengan syarat bahawa bangunan tersebut mematuhi syarat-syarat berikut :-

a) setiap, elemen struktur hendaklah mempunyai TKA yang tidak kurang daripada satu jam

b) tiada mana-mana bilik atau bangunan itu boleh digunakan bagi apa-apa pendudukan selain daripada bagi maksud rumahtangga atau pejabat, kecuali bahawa tingkat bawah boleh digunakan bagi maksud-maksud kedai atau tempat letak kereta. Dengan syarat bahawa:-

i) tangga daripada tingkat bawah hingga paras tingkat pertama hendaklah diasingkan daripada baki tingkat bawah itu dengan sesuatu didnding yang mempunyai TKA tidak kurang daripada 2 jam

ii) Dinding yang mengepung tangga itu di pintu masuk utama hendaklah dibalikkan pada suatu jarak tidak kurang daripada 450 mm sepanjang buka depan mana-mana kedai atau tempat letak kereta

iii) Jarak perjalanan maksimum hendaklah 12 meter diukur daripada pintu bilik atau kawasan itu ke tempat keluar dengan syarat bahawa laluan perjalanan daripada sesuatu tempat dalam bilik itu tidak melebihi 12 meter

iv) Di tingkat bawah dan tingkat pertama yang mempunya tingkap yang mengandungi daun tingkap hidup yang cukup dekat dengan paras tanah yang bersampingan supaya membolehkan pelepasan kecemasan melalui cara ini munasabah, suatu jarak perjalanan maksimum sehingga 30 meter adalah dibenarkan..

Dengan kata lain, bila sesuatu projek pembangunan yang melibatkan tangga tunggal ini, perkara berikut perlu dititikberatkan :-

a) ketinggian bangunan tidak lebih 12 meter

b) had jalan mati tidak boleh lebih 12 meter

c) tingkat atas hanya boleh digunakan sebagai pejabat atau kediaman sahaja

d) perlu ada "deflector wall" 450mm sebelah tangga

e) jarak perjalanan maksimum 30 meter

okla cukup untuk kali ini.. jumpa lagi di lain kali..

Tuesday 24 April 2018

Risk Based Inspection (RBI)

Salam satu malaysia..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai garispanduan keperluan keselamatan kebakaran berdasarkan kepada RBI untuk Wilayah Persekutuan KL sahaja. Garispanduan ini berkuatkuasa pada 1 Februari 2018. Media release akan dibuat pada hari khamis ni bersamaan dengan 26/4/18 di DBKL. Garispanduan ini telah dimuatnaik ke dalam website JBPM.

Tujuan garispanduan ini termasuklah :-

1) Menjelaskan dasar jabatan berkenaan proses pengemukaan pelan arkitektural dan pelan M&E berdasarkan kepada RBI

2) Menerangkan turutan proses bermula pemajuan projek sehinggalah pengeluaran sijil penyiapan dan pematuhan siap (CCC)

3) Menjelaskan peranan pegawai jabatan bomba dan penyelamat malaysia yang memproses pemajuan projek berdasarkan kepada RBI

4) Menjelaskan kategori bangunan berdsarkan kepada RBI yang tidak memerlukan pemeriksaan fizikal

Buat masa kini RBI hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan dilaksanakan secara berperingkat keseluruh negara. RBI mengkategorikan projek berdasarkan kepada tahap risiko keselamatan kebakaran sesuatu projek. Ini bermaksud JBPM tidak akan melaksanakan pemeriksaan fizikal ke atas bangunan di bawah kategori RBI. Namun begitu, pelan arkitektural dan M&E masih diproses seperti biasa.

Secara amnya RBI bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pihak berkuasa dan memberi lebih ruang kepada PSP/SP untuk menentukan pematuhan kepada aspek keselamatan kebakaran. Namun begitu, JBPM boleh melaksanakan kawalan pematuhan di bawah aktiviti Penghapusan Bahaya Kebakaran (MBK) berdasarkan kepada peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Berdasarkan kepada RBI, JBPM telah membuat ketetapan kategori bangunan projek berskala kecil (fast lane) seperti berikut:-

i. Bangunan kediaman yang tidak melebihi ketinggian 18 meter

ii. Dewan serbaguna jenis kelas C (tidak melebihi 300 orang)

iii. Tadika / taska tidak melebihi 2 tingkat

iv. Kedai 1 tingkat tidak melebihi 750 meter persegi

v. Kilang 1 tingkat tidak melebihi 750 meter persegi

vi. Rumah ibadat

vii. Rumah kelab jenis kelas C (tidak melebihi 300 orang)

viii. Gudang 1 tingkat tidak melebihi 250 meter persegi

ix. Stesen minyak

x. Bangunan pejabat tidak melebihi 4 tingkat

xi. Asrama dan dormitori 1 tingkat

xii. Hotel dengan rekabentuk lain kurang 10 bilik atau hotel dengan rekabentuk langkan terbuka 1 tingkat kurang daripada 20 bilik

xiii. Perpustakaan 1 tingkat yang kurang daripada 1000 meter persegi

Semua pembangunan yang dinyatakan ini berdasarkan kepada pembangunan sesebuah (stand alone building) di atas tanah yang tidak melebihi 1 ekar.

Oklah cukup untuk kali ini.. jumpa lagi..



Monday 16 April 2018

Jadual Ketujuh UBBL 1984

Salam satu malaysia..

Sebelum ini saya pernah berkongsi mengenai Jadual ke 5 (penetapan kumpulan maksud). Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai jadual ke 7 pula. Dalam mengkaji, memahami dan menentukan sesuatu keperluan di dalam jadual ke 7, asas utama yang perlu ditentukan adalah PENETAPAN KUMPULAN MAKSUD (jadual kelima - UBBL 1984).. 

Skop kehendak jadual ke 7  termasuklah penentuan jarak perjalanan maksimum & hitungan beban pendudukan dan muatan pintu keluar. Dengan kata lain jadual ke 7 di rujuk bila melibatkan penentuan had jalan mati, jarak perjalanan, lebar pintu keluar, jumlah pintu keluar dan faktor pendudukan.


Memandangkan skop jadual ke 7 ini besar, jadi pada kali ini saya hanya akan menerangkan tentang cara menentukan had jalan mati dan jarak perjalanan sahaja. Jalan mati (dead end) ertinya sesuatu kawasan yang pelepasan diri daripadanya hanya boleh dilakukan melalui satu arah sahaja dan dalam sesuatu pelan terbuka termasuklah mana-mana tempat yang jalan terus darinya kepada pintu keluar lain mencakup suatu sudut yang tidak kurang dari 45 darjah. 



Jarak perjalanan (travel distance) ertinya jarak yang perlu dilalui daripada mana-mana tempat ke sesuatu tingkat bangunan sama ada ke pintu penahan api dalam kepungan tangga atau jika tidak ada pintu tersebut, ke anak tangga pertama tangga itu.




okla, cukup untuk kali ini. jumpa lagi di lain kali... 


Friday 6 April 2018

Sistem Pancur Basah (Wet Riser System)

Salam satu malaysia..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai Sistem pancur Basah. Dari segi definasi, sistem pancur basah merupakan sesalur yang direkabentuk dan dipasang menegak dalam sesuatu bangunan, yang mengandungi air bertekanan untuk menentang dan melawan kebakaran dalam sesebuah bangunan.


Menurut UUK 229, bangunan-bangunan yang mana tingkat paling atasnya adalah lebih daripada 18.3 meter di atas paras akses perkakas bomba hendaklah dilengkapkan dengan cara mendapatkan akses dan menentang kebakaran daripada  dalam bangunan itu yang terdiri daripada ruang akses menentang kebakaran, tangga menentang kebakaran, lif bomba dan sistem pancur kering atau basah. 


Menurut UUK 231..

(1), sistem pancur basah hendaklah disediakan dalam tiap-tiap bangunan yang mana tingkat paling tingginya adala lebih daripada 30.5 meter di atas paras akses perkakas bomba. 

(2) Suatu sambungan hos hendaklah disediakan dalam tiap-tiap ruang akses menentang kebakaran. 

(3) pancur basah hendaklah mempunyai diameter 152.4 mm pada minimumnya dan hendaklah diuji secara hidrostatik pada tekanan 50% lebih tinggi daripada tekanan kerja yang dikehendaki dan tidak kurang daripada 14 bar selam sekurang-kurangnya 24 jam.

(4) Tiap-tiap alir keluar pancur basah hendaklah mengandungi kupling segera 63.5 mm yang standard dipasang dengan hos yang diameternya tidak kurang daripada 38.1 mm dilengkapkan dengan suatu penakung daripada jenis yang diluluskan dan suatu muncung kabus yang boleh berubah

(5) Suatu pancur basah hendaklah disediakan di tiap-tiap tangga yang melanjut daripada paras tingkat bawah ke bumbung dan hendaklah dilengkapkan dengan alir keluar 63.5mm tiga hala dibahagian atas garisan bumbung itu

(6) Setiap peringkat pancur basah itu hendaklah tidak melebihi 61 meter, melainkan dibenarkan dengan nyata oleh K.P.P.B tetapi dalam mana-mana hal tidak melebihi 70.15 meter.

Keperluan pemasangan :-

1. Sistem pancur basah hendaklah disediakan dalam tiap-tiap bangunan yang mana tingkat paling tingginya adalah lebih daripada 30.5 meter tinggi dari paras akses perkakas bomba

2. Perlu disediakan pada setiap tangga yang melanjut daripada paras tingkat bawah ke bumbung dan dilengkapkan dengan alir keluar tiga hala di bahagian atas garis bumbung

3. Sistem pancur basah hendaklah dilanjutkan ke tingkat besmen jika kedalaman besmen melebihi 9 meter dari aras tanah

4. Sambungan hos hendaklah disediakan pada setiap tingkat

5. Sistem ini juga perlu dilengkapkan dengan sekurang-kurangnya satu gulung hos dan nozzle spray & jet

6. Setiap peringkat pancur basah hendaklah tidak melebihi 61 meter kecuali dibenarkan dengan nyata oleh jabatan bomba tidak melebihi 70.15 meter

7. Jumlah sistem pancuran bergantung kepada keluasan lantai dan hendaklah ditempatkan supaya jarak perjalanan daripada tempat paling jauh sekali bagi tingkat itu tidak melebihi 45.75 meter

8. Bagi bangunan yang dalam pembinaan, pancur itu hendaklah dilanjutkan mengikut kemajuan binaan hingga ke takat 2 tingkat daripada tingkat paling tinggi yang sedang dibina dan jika tinggi yang dirancangkan bagi bangunan itu menghendaki  pemasangan sistem pancur basah,maka pam bomba, tangki storan air, dan sambungan sesalur air hendaklah disediakan bagi kegunaan pancur itu.

Komponan sistem pancur basah..

1. Injap alir masuk

2. Tangki bekalan air

3. Set pam

4. Pam starter panel

5. Sistem paip

6. Injap pelantar

7. Suis dan tolok tekanan



okla cukup untu kali ini.. lain kali kita berjumpa lagi..

Info penting

Salam sejahtera buat semua.. Sudah agak lama saya tidak update blog ini. Sebenarnya saya masih aktif berkongsi mengenai sistem pasif dan a...