Passive and active system in the buildings

Tuesday, 24 April 2018

Risk Based Inspection (RBI)

Salam satu malaysia..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai garispanduan keperluan keselamatan kebakaran berdasarkan kepada RBI untuk Wilayah Persekutuan KL sahaja. Garispanduan ini berkuatkuasa pada 1 Februari 2018. Media release akan dibuat pada hari khamis ni bersamaan dengan 26/4/18 di DBKL. Garispanduan ini telah dimuatnaik ke dalam website JBPM.

Tujuan garispanduan ini termasuklah :-

1) Menjelaskan dasar jabatan berkenaan proses pengemukaan pelan arkitektural dan pelan M&E berdasarkan kepada RBI

2) Menerangkan turutan proses bermula pemajuan projek sehinggalah pengeluaran sijil penyiapan dan pematuhan siap (CCC)

3) Menjelaskan peranan pegawai jabatan bomba dan penyelamat malaysia yang memproses pemajuan projek berdasarkan kepada RBI

4) Menjelaskan kategori bangunan berdsarkan kepada RBI yang tidak memerlukan pemeriksaan fizikal

Buat masa kini RBI hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan dilaksanakan secara berperingkat keseluruh negara. RBI mengkategorikan projek berdasarkan kepada tahap risiko keselamatan kebakaran sesuatu projek. Ini bermaksud JBPM tidak akan melaksanakan pemeriksaan fizikal ke atas bangunan di bawah kategori RBI. Namun begitu, pelan arkitektural dan M&E masih diproses seperti biasa.

Secara amnya RBI bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pihak berkuasa dan memberi lebih ruang kepada PSP/SP untuk menentukan pematuhan kepada aspek keselamatan kebakaran. Namun begitu, JBPM boleh melaksanakan kawalan pematuhan di bawah aktiviti Penghapusan Bahaya Kebakaran (MBK) berdasarkan kepada peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Berdasarkan kepada RBI, JBPM telah membuat ketetapan kategori bangunan projek berskala kecil (fast lane) seperti berikut:-

i. Bangunan kediaman yang tidak melebihi ketinggian 18 meter

ii. Dewan serbaguna jenis kelas C (tidak melebihi 300 orang)

iii. Tadika / taska tidak melebihi 2 tingkat

iv. Kedai 1 tingkat tidak melebihi 750 meter persegi

v. Kilang 1 tingkat tidak melebihi 750 meter persegi

vi. Rumah ibadat

vii. Rumah kelab jenis kelas C (tidak melebihi 300 orang)

viii. Gudang 1 tingkat tidak melebihi 250 meter persegi

ix. Stesen minyak

x. Bangunan pejabat tidak melebihi 4 tingkat

xi. Asrama dan dormitori 1 tingkat

xii. Hotel dengan rekabentuk lain kurang 10 bilik atau hotel dengan rekabentuk langkan terbuka 1 tingkat kurang daripada 20 bilik

xiii. Perpustakaan 1 tingkat yang kurang daripada 1000 meter persegi

Semua pembangunan yang dinyatakan ini berdasarkan kepada pembangunan sesebuah (stand alone building) di atas tanah yang tidak melebihi 1 ekar.

Oklah cukup untuk kali ini.. jumpa lagi..



Monday, 16 April 2018

Jadual Ketujuh UBBL 1984

Salam satu malaysia..

Sebelum ini saya pernah berkongsi mengenai Jadual ke 5 (penetapan kumpulan maksud). Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai jadual ke 7 pula. Dalam mengkaji, memahami dan menentukan sesuatu keperluan di dalam jadual ke 7, asas utama yang perlu ditentukan adalah PENETAPAN KUMPULAN MAKSUD (jadual kelima - UBBL 1984).. 

Skop kehendak jadual ke 7  termasuklah penentuan jarak perjalanan maksimum & hitungan beban pendudukan dan muatan pintu keluar. Dengan kata lain jadual ke 7 di rujuk bila melibatkan penentuan had jalan mati, jarak perjalanan, lebar pintu keluar, jumlah pintu keluar dan faktor pendudukan.


Memandangkan skop jadual ke 7 ini besar, jadi pada kali ini saya hanya akan menerangkan tentang cara menentukan had jalan mati dan jarak perjalanan sahaja. Jalan mati (dead end) ertinya sesuatu kawasan yang pelepasan diri daripadanya hanya boleh dilakukan melalui satu arah sahaja dan dalam sesuatu pelan terbuka termasuklah mana-mana tempat yang jalan terus darinya kepada pintu keluar lain mencakup suatu sudut yang tidak kurang dari 45 darjah. 



Jarak perjalanan (travel distance) ertinya jarak yang perlu dilalui daripada mana-mana tempat ke sesuatu tingkat bangunan sama ada ke pintu penahan api dalam kepungan tangga atau jika tidak ada pintu tersebut, ke anak tangga pertama tangga itu.




okla, cukup untuk kali ini. jumpa lagi di lain kali... 


Friday, 6 April 2018

Sistem Pancur Basah (Wet Riser System)

Salam satu malaysia..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai Sistem pancur Basah. Dari segi definasi, sistem pancur basah merupakan sesalur yang direkabentuk dan dipasang menegak dalam sesuatu bangunan, yang mengandungi air bertekanan untuk menentang dan melawan kebakaran dalam sesebuah bangunan.


Menurut UUK 229, bangunan-bangunan yang mana tingkat paling atasnya adalah lebih daripada 18.3 meter di atas paras akses perkakas bomba hendaklah dilengkapkan dengan cara mendapatkan akses dan menentang kebakaran daripada  dalam bangunan itu yang terdiri daripada ruang akses menentang kebakaran, tangga menentang kebakaran, lif bomba dan sistem pancur kering atau basah. 


Menurut UUK 231..

(1), sistem pancur basah hendaklah disediakan dalam tiap-tiap bangunan yang mana tingkat paling tingginya adala lebih daripada 30.5 meter di atas paras akses perkakas bomba. 

(2) Suatu sambungan hos hendaklah disediakan dalam tiap-tiap ruang akses menentang kebakaran. 

(3) pancur basah hendaklah mempunyai diameter 152.4 mm pada minimumnya dan hendaklah diuji secara hidrostatik pada tekanan 50% lebih tinggi daripada tekanan kerja yang dikehendaki dan tidak kurang daripada 14 bar selam sekurang-kurangnya 24 jam.

(4) Tiap-tiap alir keluar pancur basah hendaklah mengandungi kupling segera 63.5 mm yang standard dipasang dengan hos yang diameternya tidak kurang daripada 38.1 mm dilengkapkan dengan suatu penakung daripada jenis yang diluluskan dan suatu muncung kabus yang boleh berubah

(5) Suatu pancur basah hendaklah disediakan di tiap-tiap tangga yang melanjut daripada paras tingkat bawah ke bumbung dan hendaklah dilengkapkan dengan alir keluar 63.5mm tiga hala dibahagian atas garisan bumbung itu

(6) Setiap peringkat pancur basah itu hendaklah tidak melebihi 61 meter, melainkan dibenarkan dengan nyata oleh K.P.P.B tetapi dalam mana-mana hal tidak melebihi 70.15 meter.

Keperluan pemasangan :-

1. Sistem pancur basah hendaklah disediakan dalam tiap-tiap bangunan yang mana tingkat paling tingginya adalah lebih daripada 30.5 meter tinggi dari paras akses perkakas bomba

2. Perlu disediakan pada setiap tangga yang melanjut daripada paras tingkat bawah ke bumbung dan dilengkapkan dengan alir keluar tiga hala di bahagian atas garis bumbung

3. Sistem pancur basah hendaklah dilanjutkan ke tingkat besmen jika kedalaman besmen melebihi 9 meter dari aras tanah

4. Sambungan hos hendaklah disediakan pada setiap tingkat

5. Sistem ini juga perlu dilengkapkan dengan sekurang-kurangnya satu gulung hos dan nozzle spray & jet

6. Setiap peringkat pancur basah hendaklah tidak melebihi 61 meter kecuali dibenarkan dengan nyata oleh jabatan bomba tidak melebihi 70.15 meter

7. Jumlah sistem pancuran bergantung kepada keluasan lantai dan hendaklah ditempatkan supaya jarak perjalanan daripada tempat paling jauh sekali bagi tingkat itu tidak melebihi 45.75 meter

8. Bagi bangunan yang dalam pembinaan, pancur itu hendaklah dilanjutkan mengikut kemajuan binaan hingga ke takat 2 tingkat daripada tingkat paling tinggi yang sedang dibina dan jika tinggi yang dirancangkan bagi bangunan itu menghendaki  pemasangan sistem pancur basah,maka pam bomba, tangki storan air, dan sambungan sesalur air hendaklah disediakan bagi kegunaan pancur itu.

Komponan sistem pancur basah..

1. Injap alir masuk

2. Tangki bekalan air

3. Set pam

4. Pam starter panel

5. Sistem paip

6. Injap pelantar

7. Suis dan tolok tekanan



okla cukup untu kali ini.. lain kali kita berjumpa lagi..

Thursday, 29 March 2018

Sistem Pancur Kering (Dry Riser System)

Salam satu malaysia...

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai sistem pancur kering. Menurut UUK 133 (tafsiran), sistem pancur kering ertinya sesuatu sesalur air tegak yang selalunya kering, daripada saiz yang berpatutan, dan dipasang dengan pili - air keluar yang boleh dipenuhi dengan air oleh pam-pam pihak berkuasa bomba melalui  alir masuk perkhidmatan dan mematuhi kehendak T.A.P.B 402.101


Keperluan sistem pancur kering ini ada tertulis di dalam UBBL 1984. Merujuk kepada UUK 229, bangunan-bangunan yang mana tingkat paling atasnya adalah lebih daripada 18.3 meter dia atas paras akses perkakas bomba hendaklah dilengkapkan dengan cara mendapatkan akses dan menentang kebakaran daripada dalam bangunan itu yang terdiri daripada ruang akses menentang kebakaran, tangga menentang kebakaran, lif bomba dan sistem pancur kering atau basah.


Menurut UUK 230 - pemasangan dan ujian sistem pancur kering..

(1) Sistem pancur kering hendaklah disediakan dalam tiap-tiap bangunan yang mana tingkat paling atasnya adalah lebih daripada 18.3 meter tetapi kurang daripada 30.5 meter di atas paras akses perkakas bomba.


(2) Suatu sambungan hos hendaklah disediakan dalam setiap ruang akses menentang kebakaran

(3) Pancur kering hendaklah daripada paip-paip Kelas C pada minimumnya dengan pemasangan dan sambungan yang kekuatannya mencukupi untuk menahan takanan air 21 bar

(4) Pancur kering hendaklah diuji secara hidrostatik untu menahan tekanan tidak kurang daripada 14 bar selama 2 jam di hadapan pihak berkuasa bomba sebelum diterima

(5) Semua larian melintang sistem pancur kering hendaklah dicuramkan pada kadar 6.35 mm dalam 3.05 meter


(6) Pancur kering ini hendaklah mempunyai diameter tidak kurang daripada 102 mm bagi bangunan yang mana alir keluarnya yang tertinggi sekali adalah 22.875 meter atau kurang di atas alir masuk pam bomba dan tidak kurang daripada 152.4 mm diameter jika alir keluar yang tertinggi sekali adalah lebih tinggi daripada 22.875 meter di atas alir masuk pam itu

(7) Pancur kering yang 102 mm diameternya hendaklah dilengkapkan dengan alir masuk pam dua hala dan pancur kering yang 152.4 mm diameternya hendaklah dilengkapkan dengan alir masuk pam empat hala


okla cukup untuk kali ini.. jumpa lagi di lain post..

Wednesday, 21 March 2018

Emergency Response Team (E.R.T)

Salam satu malaysia...

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai émergency response team'. Pasukan ini perlu ditubuhkan di setiap bangunan yang diduduki supaya setiap kali berlaku kebakaran atau kecemasan, mereka akan membantu semasa proses pengungsian bangunan. Pasukan ini akan dilatih oleh jabatan bomba dalam menghadapi sebarang kebakaran atau kecemasan. Secara tidak langsung semasa latihan pengungsian yang dibuat akan memberikan gambaran sebenar ketika berlaku kebakaran kepada penghuni di dalam bangunan tersebut.

Pasukan ERT ini perlu diberi latihan sekurang-kurangnya setahun sekali supaya mereka tahu tindakan yang perlu dilakukan semasa kebakaran atau kecemasan. Antara objektif latihan ini ialah :-

i. Supaya penghuni-penghuni yang diancam oleh kebakaran boleh bertindak dengan tenang dan teratur

ii. Supaya jalan-jalan keluar keselamatan digunakan mengikut kaedah yang betul

iii. Supaya tindakan mengosongkan bangunan dilaksanakan dengan cepat dan teratur

iv. Bertujuan melatih pasukan keselamatan kebakaran menjalankan tugas-tugas mengikut prosedur dan dilakukan dengan sempurna

v. Supaya dapat menguji keupayaan bertindak serta keberkesanan peralatan kebombaan yang terdapat dalam sesebuah bangunan

Dalam persediaan mengadakan latihan, semua perkara berikut perlu ada :-

1. Menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak kebakaran yang terdiri daripada wakil-wakil pada tiap-tiap tingkat / bahagian

2. Jawatankuasa bertindak kebakaran terdiri daripada:-

- 1 x ketua insiden
- 1 x penolong ketua insiden
- ketua tingkat (floor warden)
- 1 x pasukan pemadam
- 1 x pasukan penyelamat
- 1 x historican / pencatit insiden

3. Menyediakan arahan-arahan untuk petugas-petugas

4. Menyediakan arahan-arahan umum untuk penghuni-penghuni bangunan

5. Menyediakan floor plan termasuk rancangan bertindak

6. Patikan jalan-jalan, laluan-laluan, pintu-pintu keluar kecemasan dan tangga-tangga keselamatan tidak dihalangi oleh sebarang halangan

7. Tentukan semua sistem kebombaan berfungsi

Dari segi peranan dan tanggungjawab pasukan keselamatan kebakaran termasuklah :-

i. Pastikan semua peralatan & perkakas kebombaan dalam keadaan baik

ii. Penyelenggaraan berkala dan berterusan

iii. Mengadakan latihan kecemasan kebakaran

iv. Memberitahu (raise alarm) jika ada kecemasan

v. Membantu penghuni semasa kecemasan

vi. Membantu jabatan bomba semasa kecemasan

Tanggungjawab penghuni semasa berlaku kebakaran atau kecemasan atau semasa latihan :-

i. Biasakan dengan jalan keluar keselamatan

ii. Beri perhatian kegunaan peralatan asas menentang kebakaran

iii. Peka dengan bunyi loceng kecemasan kebakaran

iv. Biasakan memaklumkan kepada rakan jika masuk dalam stor atau kawasan tertutup

v. Ikut arahan ketua tingkat insiden

vi. Gunakan tangga keselamatan semasa kecemasan

vii. Tuju ke tempat berkumpul

okla cukup untuk kali ini.. lain kali jumpa lagi.. Kepada yang yang bercuti berhati-hati di jalan raya.. :)

Monday, 19 March 2018

Menyelamat Diri Daripada Kebakaran

Salam satu malaysia..
Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai cara menyelamat diri daripada kebakaran.. (sumber rujukan : website JBPM)
APABILA BERLAKU KEBAKARAN PATUHILAH LANGKAH-LANGKAH BERIKUT:
  1. Jangan panik. Bunyikanlah penggera untuk memberi isyarat kepada semua penghuni rumah. Selamatkanlah diri anda dan keluarga anda melalui jalan keluar yang sedia ada atau yang telah ditetapkan.
  2. Hubungilah balai bomba yang berhampiran. Berikan butir-butir lengkap mengenai lokasi rumah anda.
  3. Sementara menanti ketibaan anggota-anggota bomba, cubalah padamkan api dengan alat pemadam api. INGAT! Jangan sampai membahayakan diri anda.

PETUA UNTUK MENYELAMATKAN DIRI DARIPADA KEBAKARAN

i. JALAN KELUAR

Api itu, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Api memang tidak mengenal darjat penghuni dan rumah kediaman mereka. Apabila berlaku kebakaran, langkah yang paling penting ialah mencari jalan keluar. Oleh itu anda mestilah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua jalan keluar di rumah anda untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran

ii. BINCANGKAN PELAN MEYELAMATKAN DIRI DENGAN KELUARGA

Anda harus mengadakan perbincangan dengan keluarga anda mengenai pelan menyelamatkan diri daripada kebakaran di rumah. Pastikan seluruh keluarga anda memahami dan mengetahui apa yang perlu dibuat jika berlaku kebakaran. Adakan latihan amali di hujung minggu atau bila ada masa lapang supaya ia sentiasa dalam ingatan ahli keluarga anda.

iii. CUBA ELAKKAN PENGGUNAAN JERIJI

Cuba elakkan penggunaan jeriji besi pada tingkap dan pintu rumah anda. Jika anda terpaksa menggunakannya, pastikan jeriji tersebut boleh dibuka daripada dalam rumah dengan mudah.

iv. JALAN KELUAR TIDAK DIHALANG

Pastikan semua jalan keluar di rumah anda mudah dilalui dan bebas daripada sebarang halangan.

v. ANAK KUNCI MUDAH DIAMBIL

Setiap ahli keluarga mestilah tahu di mana anak kunci pintu atau jeriji biasanya disimpan. Jangan mengubah tempat menyimpan anak kunci.

vi. MEMASANG ALAT PENGESAN ASAP

Pastikan anda memasang sekurang-kurangnya satu pengesan asap di rumah untuk memberi isyarat bermulanya kebakaran.

Okla cukup untuk kali ini.. jumpa lagi..

.










Thursday, 15 March 2018

Pengudaraan

Salam satu malaysia..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai pengudaraan. Pengudaraan merupakan proses mengubah atau menggantikan udara yang sediaada dengan udara yang lebih baik untuk mengawal suhu, menghilangkan kelembapan, bau serta asap. Ia adalah mekanisma penting bila berlaku sesuatu kebakaran. Ia juga meliputi proses pertukaran udara dari dalam ke luar dan juga dari luar ke dalam untuk mengawal kualiti udara. Kaedahnya boleh dibahagikan kepada beberapa cara iaitu semulajadi, mekanikal atau gabungan kedua-duanya.



Dari segi kepentingannya, pengudaraan yang baik dapat mengawal asap apabila berlakunya kebakaran. kesukarannya akan menyebabkan kerosakan harta benda, kehilangan nyawa, kemusnahan bangunan dan boleh mengelakkan berlakunya backdaft..

Tujuan pengudaraan..

Bagi perlindungan nyawa
- jalan keluar keselamatan (koridor, tangga & lobi) dapat digunakan dengan selamat
- memudahkan sewaktu menyelamatkan diri

Bagi perlindungan harta benda
- kemerebakan kebakaran dapat dikurangkan
- kerosakan akibat asap yang panas dapat dikurangkan
- proses untuk mencapai tahap flash over dapat dilewatkan

Bagi pegawai bomba
- menambahkan jarak penglihatan sewaktu operasi pemadaman
- memudahkan mengesan punca api

Pengudaraan secara semulajadi

i. Pengudaraan dari udara luar tanpa menggunakan kipas atau bantuan/penggunaan mekanikal lain

ii. Direalisasikan dengan bukaan tingkap atau lubang pada struktur sesuatu bangunan

iii. Terjadi bila ada perubahan udara tanpa menggunakan kaedah mekanikal

iv. Selalu terjadi dengan adanya bukaan tingkap tetapi juga berlaku bila terdapatnya perbezaan tekanan dan suhu di dalam bilik

Pengudaraan secara mekanikal

i. Pengudaraan menggunakan bantuan luar seperti kipas dan lain-lain sistem mekanikal

ii. Mengeluarkan asap yang tidak berkaitan dan menggantikan dengan udara yang bersih melalui tindakan mekanikal

iii. Penggunaan kipas bagi melaksanakan pertukaran udara serta menggalakkan aliran udara

iv. Bertindak dengan memberi tekanan negatif pada kawasan tertentu bagi memaksa pergerakan udara

okla cukup untu kali ini.. jumpa lagi...



Info penting

Salam sejahtera buat semua.. Sudah agak lama saya tidak update blog ini. Sebenarnya saya masih aktif berkongsi mengenai sistem pasif dan a...