Passive and active system in the buildings

Thursday, 30 May 2019

Ketahanan Api

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai ketahanan api. Selak nota lama masa master dulu terjumpa info ni. So saya share kat sini.. Ketahanan api merupakan kemampuan elemen struktur untuk mengekalkan fungsinya bergantung kepada kesannya kepada haba iaitu ketahanan api. Kebiasaannya diukur berdasarkan masa iaitu dalam minit atau jam. Ketahanan api setiap komponen diukur melalui keupayaan melawan kebakaran - load bearing capacity, integrity dan insulating.


Antara bahan-bahan yang digunakan bagi pembinaan sesebuah bangunan adalah kayu, simen, konkrit, batu bata, logam, kaca, plastik dan lain-lain. Bahan-bahan ini akan mengalami pelbagai perubahan sewaktu berlakunya kebakaran serta ianya akan memberi kesan dalam kemerebakan kebakaran..

a) Kayu (timber) - mempunyai daya pengaliran haba yang rendah dan kelambatan kadar kebakaran bergantung kepada jenis kayu. Biasanya ia akan mula terbakar pada suhu 350 darjah celcius

b) Batu bata - mempunyai daya pengaliran haba yang rendah dan hampir mencapai taraf fire proof jika semua batu dan bahan organik dikeluarkan. Batu bata yang panas akan luluh atau retak apabila disejukkan dengan pancutan air secara tiba-tiba

c) Konkrit - campuran batu, simen, air dan pasir serta diperkukuhkan dengan besi (reinforced concrete). Ia mengembang pada kadar yang pantas iaitu diantara 400-500 darjah celcius menyebabkan ia retak. Pada suhu 800 darjah celcius, simen akan luluh, jika pancutan air terkena padanya simen akan menyerap air dan mengembang dengan pantas. Ini akan menyebabkan keruntuhan di bahagian bangunan tersebut.

d) Batu - merupakan penebat haba yang baik tapi ketahanannya kurang berbanding batu bata kerana batu akan retak dan pecah bila terkena pancutan jet air semasa panas

e) Kaca - kadar pengaliran haba yang rendah dan pengembangan yang tidak sekata ia mudah retak dan pecah bila panas. Ia menjadi lebih tahan jika diperkukuhkan dengan jaring/wire mashing atau bilah jalur yang diperbuat daripada logam. Ini dinamakan electro copper glazing. Juga terdapat kaca yang tahan api. 

f) Besi - ketahanan akan berkurang dua pertiga jika terdedah kepada panas lebih daripada 600 darjah celcius. Jabatan bomba tidak menggalakkan penggunaan besi dalam pembinaan bangunan kecuali diberi perlindungan khas.

g) Aluminium/aloi - bahan akan kehilangan kekuatan dengan pantas bila dipanaskan pada suhu 100-225 darjah celcius. Mempunyai kadar pengembangan yang tinggi (dua kali ganda dari keluli). Kadar pengaliran haba yang tinggi (tiga kali ganda dari keluli) dan takat lebur amat rendah. Ia mempunyai beberapa kelebihan :-
i) mengurangkan keberatan struktur
ii) tidak berkarat
iii) mempunyai kekuatan yang tinggi berbanding keberatan

h) Building board - jenis building board yang biasa digunakan untuk membuat siling/dinding ialah fibre board, plaster board, asbestos board, plywood board dan plastic board. Daya rintangan api bagi building board ini bergantung pada jenis bahan, tebalnya dan cara pemasangannya.

Oklah, cukup untuk kali ini. jumpa lagi..

Monday, 27 May 2019

Panduan Semakan Pelan

Salam sejahtera..

Sudah agak lama saya tidak update blog ni atas faktor kekangan masa dan kesibukan kerja. Kali ni saya dapat curi sedikit masa. So, saya akan share tentang 'quick reference guide to compliance with UBBL'. 

Actually bila nak semak sesuatu pelan ni, kita perlu teliti. Perlu ada 'technical skill'.. hehe. Semua ni perlu dipelajari melalui pembacaan dan perbincangan yang berterusan. Barulah kita akan expert. Cara paling mudah untuk jadi expert ialah perbincangan bersama arkitek dan konsultan di kaunter. Biasanya mereka akan datang membawa masalah mengenai design. Cuba elakkan memberi keputusan yang anda tidak pasti. Jangan malu mengaku kita tak tahu. Rujuklah pegawai yang lebih lama dan berpengalaman. Lama-kelamaan anda akan menjadi expert.

Secara umumnya bila nak semak sesuatu pelan arkitektural, beberapa perkara penting perlu diberi perhatian. Perkara-perkara tersebut termasuklah:-

1) perkara pokok yang pertama sekali yg perlu diketahui ialah kumpulan maksud (jadual kelima)
2) volume building untuk penentuan akses perkakas bomba
3) pemetakan
4) hitungan had yang dibenarkan bagi kawasan tak terlindung (jadual keenam)
5) had jalan mati dan jarak perjalanan (jadual ketujuh)
6) beban pendudukan (jadual ketujuh)
7) pengudaraan
8) penempatan sistem fire fighting
9) lobi menentang kebakaran
10) dan lain-lain

Kalau nak cerita bab teknikal memang susah dalam bentuk penulisan. Kena berguru.. hehe.. okla lain kali kita sambung lagi. selamat berbuka bagi yang berpuasa.. :)

Thursday, 7 February 2019

Buku Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Bomba (akta 341) & Liabiliti Penghuni

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya ingin mempromosikan 'Buku Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Bomba (akta 341) & Liabiliti Penghuni'. Untuk pengetahuan semua, saya hanya menulis satu bab sahaja dalam buku ini iaitu bab 5. Persoalan sekarang siapa yang perlu memiliki buku ini? 




Buku ini sesuai dimiliki jurutera, arkitek, peguam, kontraktor, pemilik bangunan, pengurus bangunan, pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan sekolah, pengurusan asrama, pengusaha hotel dan penginapan, pemunya premis ditetapkan, pegawai bomba, pelajar dan sesiapa yang ingin mengetahui tentang konsep asas sains api, asas undang-undang bangunan, konsep keselamatan kebakaran, hak-hak di bawah undang-undang sivil (tort) khususnya dalam kes kebakaran, penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah akta perkhidmatan bomba 1988. 


Jika anda seorang usahawan yang ingin membina bangunan perniagaan, buku ini juga menjelaskan keperluan yang dikemukakan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi tujuan kelulusan dan perakuan. Buku ini Memberikan maklumat asas kepada usahawan terutama sekali bagi tujuan pematuhan kepada undang-undang kecil bangunan seragam 1984. Jika anda seorang pengurus atau pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan buku ini mengandungi maklumat tentang pengawasan kebakaran. Buku ini turut memuatkan perlaksanaan penguatkuasaan ke atas bangunan melalui pemeriksaan penghapusan bahaya kebakaran dan perakuan bomba. Jika anda seorang pemunya premis ditetapkan buku ini menjelaskan tentang keperluan-keperluan bagi mendapatkan sijil perakuan bomba bagi sesebuah bangunan.

Kepada yang berminat memiliki buku ini boleh hubungi saya di talian 019-3852746. Bagi yang berminat untuk menjadi wakil jualan, harga special akan diberikan. Sepanjang bulan Februari 2019 masih lagi harga promosi iaitu RM60 bagi sebuah buku tidak termasuk kos penghantaran.

Di akhir kata, dapatkan segera buku ini kerana ia sangat bersesuaian dengan kita semua.. sampai berjumpa lagi di lain masa.. 

Wednesday, 3 October 2018

Struktur Super Mega ( Performance Based Approach)


Salam sejahtera..

Sementara menunggu kelas teknikal 101 kesalahan yang dilakukan oleh arkitek mula pada pukul 8.30 nanti, lebih baik saya menulis. Jadi dalam masa yang singkat ini, saya akan berkongsi mengenai PBA atau struktur super mega (performance based approach). Untuk pengetahuan semua, lukisan PBA ini akan diproses dan disemak di peringkat Ibupejabat JBPM Putrajaya. Tapi arkitek perlu mendapatkan kelulusan diperingkat negeri terlebih dahulu sebelum ke peringkat JBPM Putrajaya. 

Secara umumnya semua pelan yang dikemukakan ke jabatan bomba akan diproses oleh Bahagian Keselamatan Kebakaran berpandukan kepada UBBL 1984 bagi menetapkan syarat-syarat keselamatan sama ada dari sudut pasif atau aktif. Tidak terkecuali juga bagi projek-projek berstatus mega.

Semua syarat-syarat tersebut merupakan syarat-syarat ‘prescriptive’ di mana ia menetapkan secara objektif semua syarat-syarat keselamatan kebakaran seperti pemetakan, jarak perjalanan, takat kemerebakan api, ketinggian bangunan dan penggunaan bahan binaan. Ia juga menetapkan secara objektif rekabentuk sistem pemadaman aktif sama ada secara automatik atau manual. Oleh kerana semua keperluan ‘prescriptive’ ini terlalu objektif, ia telah menghadkan pembinaan bangunan atau projek tersebut kepada saiz-saiz dan ketinggian tertentu.

Pada masa ini, terdapat beberapa projek mega yang dibina oleh pemaju yang mempunyai saiz, keluasan dan ketinggian serta rekabentuk yang unik dan melebihi syarat-syarat kebombaan yang ditentukan oleh UBBL 1984. Bagi mengatasi masalah ini, kaedah ‘performance based fire safety engineering design’ telah diguna pakai. Sistem kebombaan akan direkabentuk secara ‘performance base fire safety engineering’.

Sistem ini adalah alternatif kepada keperluan-keperluan ‘prescriptive’ yang ditentukan oleh UBBL 1984 atau lain-lain piawaian. Ia digunakan bagi merekabentuk melalui ‘engineering system’ semua syarat-syarat keselamatan sama ada pasif ataupun aktif seperti  berikut :-

  1. Beban pendudukan
  2. Jarak perjalanan dan had jalan mati
  3. Penghapusan pemetakan
  4. Sistem pengurusan asap
  5. Sistem pemadaman aktif


Beberapa pendekatan telah diguna pakai seperti simulasi komputer seperti ‘computational fluid dynamic (CFD) fire risk assessment’ dan ‘design fire scenarios’ bagi menyelesaikan beberapa masalah keselamatan kebakaran sama ada secara ‘qualitative’ ataupun ‘quantitative’.

okla cukup untuk kali ini. lain kali kita jumpa lagi :)

Monday, 1 October 2018

Jadual-Jadual Dalam UBBL 1984

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai jadual-jadual yang terdapat di dalam undang-undang kecil bangunan seragam 1984. Sebenarnya terdapat 10 jadual yang mempunyai fungsi yang tersendiri. Walaubagaimanapun jadual-jadual yang paling kerap digunakan ialah jadual kelima, jadual keenam, jadual ketujuh dan jadual kesepuluh. Kesemua jadual tersebut adalah seperti berikut:-

Jadual pertama

Fee bagi menimbangkan, permit dan lain-lain

Jadual kedua

1. Borang A - Perakuan pelan-pelan bangunan / struktur
2. Borang B - Notis memulakan / penyambungan semula kerja bangunan
3. Borang C - Nota siap pancang tangga
4. Borang D - Notis siap tapak
5. Borang E - Permohonan bagi pengeluaran sijil kelayakan bagi pendudukan

Jadual ketiga

Undang-undang kecil 41

Jadual keempat

1. Berat bahan
2. Penggunaan-pengunaan dan beban-beban
3. Lebar minumum asas jalur

Jadual kelima

1. Ketetapan kumpulan maksud
2. Ukuran bangunan dan kompatmen

Jadual keenam

1. Bahagian 1 - Kaedah-kaedah am
2. Bahagian 2 - Kaedah-kaedah bagi hitungan dengan rujukan kepada satu segiempat bujur mengepung
3. Bahagian 3 - Kaedah-kaedah bagi hitungan dengan rujukan kepada jumlah keluasan andaian
4. Bahagian 4 - Kaedah-kaedah bagi hitungan berkenaan dengan bangunan-bangunan tertentu daripada kumpulan maksud I atau III

Jadual ketujuh

1. Jarak perjalanan maksimum
2. Hitungan beban pendudukan dan muatan pintu keluar

Jadual kelapan

Pengelasan sekatan kemerebakan api ke atas permukaan dinding dan siling

Jadual kesembilan

Had-had kompatmen dan tempoh minimum ketahanan api bagi elemen struktur

Jadual kesepuluh

Jadual mengenai kehendak-kehendak bagi sistem pemadaman api, sistem penggera dan pencahayaan kecemasan


Oklah, cukup untuk kali ini. Nak keluar pergi inspection ni.. jumpa lagi.. :)



Saturday, 8 September 2018

Pam dan Motor Sistem Sprinkler

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai pam dan motor sistem sprinkler pula. Secara amnya terdapat tiga pam bagi setiap set sistem sprinkler ini. Pam-pam ini akan digerakkan sama ada menggunakan motor elektrik atau enjin diesel. Pam-pam tersebut ialah :-


Pam Joki (Jockey Pump)

Pam ini berfungsi sebagai penstabil tekanan air di dalam paip sistem apabila berlaku sebarang kejatuhan tekanan air yang kecil. Pam ini akan bertindak dan berhenti secara automatik. Pam joki mempunyai `multi stage impeller’ dan digerakkan oleh motor elektrik. Pam joki hendaklah berhenti apabila pam utama bertindak.      

Pam Utama (Duty Pump)

Pam ini merupakan pam utama berfungsi apabila terdapat mana-mana kepala sprinkler yang pecah. Pam ini akan bertindak secara automatik dan berhenti secara automatik / manual. Pam utama digerakkan pada kebiasaannya oleh motor elektrik.      

Pam Pendua (Standby Pump)

Pam ini akan berfungsi apabila berlaku kerosakkan pada pam utama. Pam ini akan bergerak secara automatik dan berhenti secara automatik / manual.

Setiap pam hendaklah diletakkan di atas `plinth’ dan diadakan kemudahan untuk menyerap gegaran apabila pam berfungsi. Untuk pam-pam yang ditempatkan di dalam bangunan, bilik pam hendaklah diperbuat daripada struktur yang mempunyai ketahanan api sekurang-kurangnya dua (2) jam. Dalam bilik pam tidak dibenarkan sama sekali untuk kegunaan lain selain daripada penempatan pam-pam sistem kebombaan. Bilik pam perlulah di adakan kemudahan lampu kecemasan jenis kuasa tersendiri yang menggunakan bateri dan sistem pengudaraan yang mencukupi.


Sekirannya pam diesel digunakan , bateri yang digunakan hendaklah dari jenis nikel cadmiun. Paip eksos injin hendaklah disalurkan terus ke bahagian luar bangunan. Bahagian paip eksos di dalam bangunan perlulah dibaluti dengan bahan penebat yang mampu menahan kepanasan. Semua motor elektrik yang menggerakan pam mestilah mempunyai bekalan kuasa pendua yang di perolehi dari generator. Bekalan kuasa elektrik biasa yang diperolehi hendaklah di ambil terus dari `Main Distribution Board’.

Okla cukup untuk kali ini. lain kali kita sambung lagi.. good night... zzzzzzz

Sunday, 26 August 2018

Sistem Sprinkler

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai sistem sprinkler. Sebenarnya terlalu banyak skop yang perlu di cover tapi saya akan share secara general sahaja pada kali ini. Yang lebih terperinci mungkin kena tunggu buku saya.. hehe

Sistem penyembur air automatik atau sistem sprinkler merupakan satu sistem pemasangan tetap yang mempunyai bekalan air sendiri, paip, injap dan tempt pancuran untuk bertindak secara automatik. Sistem ini akan bertindak dengan cara mengesan, memberi isyarat, mengawal dan memadam kebakaran. 

Sistem sprinkler akan beroperasi pada suhu yang telah ditetapkan untuk memberi semburan air pada kawasan yang terlibat dengan kebakaran di bawahnya. Suhu operasi biasanya dipilih mengikut kesesuaian suhu persekitaran kawasan yang dilindungi. Hanya penyembur air automatik di kawasan terlibat dengan kebakaran, iaitu apabila suhu kepanasan yang cukup akan bertindak (untuk sistem basah).

Sistem sprinkler boleh dipasangkan untuk kesemua jenis kegunaan tempat kecuali kawasan-kawasan atau tempat seperti berikut;

  1. Silo atau tempat simpanan bijirin dalam bangunan yang menjadi sebahagian kilang jagung(corn mill), kilang arak (distillery) atau kilang minyak (oil mill).
  2. Oven, kilns di kilang tembikar, batu-bata, tile dan kaca.
  3. Kawasan atau bilik dimana semburan air springkler boleh mengujudkan bahaya.
  4. Tempat atau bilik yang basah seperti tandas.

Sistem sprinkler di bahagikan kepada beberapa kategori bersesuaian dengan jenis kepenggunaan sesuatu bangunan atau premis. Sekiranya sesuatu bangunan atau premis mempunyai lebih daripada satu kegunaan, maka rekaan sistem hendaklah mengikut kategori yang lebih tinggi dari kumplan kegunaan. Kepenggunaan atau sebahagiannya hendaklah di klasifikasikan seperti kategori berikut;


  1. `Light Hazard’
  2. `Ordinary Hazard’
  3. `High Hazard’

Keberkesanan sistem sprinkler ini bergantung kepada jenis kumpulan hazard dan jarak antara kepala sprinkler. Jadual di bawah menunjukkan ketinggian yang dibenarkan mengikut kategori.

Hazard 
Ketinggian 

Light Hazard
15 Meter
30 Meter
45 Meter
Ordinary Hazard Group I
15 Meter
30 Meter
45 Meter
Ordinary Hazard Group II
15 Meter
30 Meter
45 Meter
Ordinary Hazard Group III
15 Meter
30 Meter
45 Meter
Ordinary Hazard Group III Special
15 Meter
30 Meter
High Hazard
Bergantung kepada rekabentuk

okla cukup untu kali ini. lain kali kita jumpa lagi..

Info penting

Salam sejahtera buat semua.. Sudah agak lama saya tidak update blog ini. Sebenarnya saya masih aktif berkongsi mengenai sistem pasif dan a...