Passive and active system in the buildings

Thursday, 7 February 2019

Buku Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Bomba (akta 341) & Liabiliti Penghuni

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya ingin mempromosikan 'Buku Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Bomba (akta 341) & Liabiliti Penghuni'. Untuk pengetahuan semua, saya hanya menulis satu bab sahaja dalam buku ini iaitu bab 5. Persoalan sekarang siapa yang perlu memiliki buku ini? 




Buku ini sesuai dimiliki jurutera, arkitek, peguam, kontraktor, pemilik bangunan, pengurus bangunan, pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan sekolah, pengurusan asrama, pengusaha hotel dan penginapan, pemunya premis ditetapkan, pegawai bomba, pelajar dan sesiapa yang ingin mengetahui tentang konsep asas sains api, asas undang-undang bangunan, konsep keselamatan kebakaran, hak-hak di bawah undang-undang sivil (tort) khususnya dalam kes kebakaran, penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah akta perkhidmatan bomba 1988. 


Jika anda seorang usahawan yang ingin membina bangunan perniagaan, buku ini juga menjelaskan keperluan yang dikemukakan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi tujuan kelulusan dan perakuan. Buku ini Memberikan maklumat asas kepada usahawan terutama sekali bagi tujuan pematuhan kepada undang-undang kecil bangunan seragam 1984. Jika anda seorang pengurus atau pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan buku ini mengandungi maklumat tentang pengawasan kebakaran. Buku ini turut memuatkan perlaksanaan penguatkuasaan ke atas bangunan melalui pemeriksaan penghapusan bahaya kebakaran dan perakuan bomba. Jika anda seorang pemunya premis ditetapkan buku ini menjelaskan tentang keperluan-keperluan bagi mendapatkan sijil perakuan bomba bagi sesebuah bangunan.

Kepada yang berminat memiliki buku ini boleh hubungi saya di talian 019-3852746. Bagi yang berminat untuk menjadi wakil jualan, harga special akan diberikan. Sepanjang bulan Februari 2019 masih lagi harga promosi iaitu RM60 bagi sebuah buku tidak termasuk kos penghantaran.

Di akhir kata, dapatkan segera buku ini kerana ia sangat bersesuaian dengan kita semua.. sampai berjumpa lagi di lain masa.. 

Wednesday, 3 October 2018

Struktur Super Mega ( Performance Based Approach)


Salam sejahtera..

Sementara menunggu kelas teknikal 101 kesalahan yang dilakukan oleh arkitek mula pada pukul 8.30 nanti, lebih baik saya menulis. Jadi dalam masa yang singkat ini, saya akan berkongsi mengenai PBA atau struktur super mega (performance based approach). Untuk pengetahuan semua, lukisan PBA ini akan diproses dan disemak di peringkat Ibupejabat JBPM Putrajaya. Tapi arkitek perlu mendapatkan kelulusan diperingkat negeri terlebih dahulu sebelum ke peringkat JBPM Putrajaya. 

Secara umumnya semua pelan yang dikemukakan ke jabatan bomba akan diproses oleh Bahagian Keselamatan Kebakaran berpandukan kepada UBBL 1984 bagi menetapkan syarat-syarat keselamatan sama ada dari sudut pasif atau aktif. Tidak terkecuali juga bagi projek-projek berstatus mega.

Semua syarat-syarat tersebut merupakan syarat-syarat ‘prescriptive’ di mana ia menetapkan secara objektif semua syarat-syarat keselamatan kebakaran seperti pemetakan, jarak perjalanan, takat kemerebakan api, ketinggian bangunan dan penggunaan bahan binaan. Ia juga menetapkan secara objektif rekabentuk sistem pemadaman aktif sama ada secara automatik atau manual. Oleh kerana semua keperluan ‘prescriptive’ ini terlalu objektif, ia telah menghadkan pembinaan bangunan atau projek tersebut kepada saiz-saiz dan ketinggian tertentu.

Pada masa ini, terdapat beberapa projek mega yang dibina oleh pemaju yang mempunyai saiz, keluasan dan ketinggian serta rekabentuk yang unik dan melebihi syarat-syarat kebombaan yang ditentukan oleh UBBL 1984. Bagi mengatasi masalah ini, kaedah ‘performance based fire safety engineering design’ telah diguna pakai. Sistem kebombaan akan direkabentuk secara ‘performance base fire safety engineering’.

Sistem ini adalah alternatif kepada keperluan-keperluan ‘prescriptive’ yang ditentukan oleh UBBL 1984 atau lain-lain piawaian. Ia digunakan bagi merekabentuk melalui ‘engineering system’ semua syarat-syarat keselamatan sama ada pasif ataupun aktif seperti  berikut :-

  1. Beban pendudukan
  2. Jarak perjalanan dan had jalan mati
  3. Penghapusan pemetakan
  4. Sistem pengurusan asap
  5. Sistem pemadaman aktif


Beberapa pendekatan telah diguna pakai seperti simulasi komputer seperti ‘computational fluid dynamic (CFD) fire risk assessment’ dan ‘design fire scenarios’ bagi menyelesaikan beberapa masalah keselamatan kebakaran sama ada secara ‘qualitative’ ataupun ‘quantitative’.

okla cukup untuk kali ini. lain kali kita jumpa lagi :)

Monday, 1 October 2018

Jadual-Jadual Dalam UBBL 1984

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai jadual-jadual yang terdapat di dalam undang-undang kecil bangunan seragam 1984. Sebenarnya terdapat 10 jadual yang mempunyai fungsi yang tersendiri. Walaubagaimanapun jadual-jadual yang paling kerap digunakan ialah jadual kelima, jadual keenam, jadual ketujuh dan jadual kesepuluh. Kesemua jadual tersebut adalah seperti berikut:-

Jadual pertama

Fee bagi menimbangkan, permit dan lain-lain

Jadual kedua

1. Borang A - Perakuan pelan-pelan bangunan / struktur
2. Borang B - Notis memulakan / penyambungan semula kerja bangunan
3. Borang C - Nota siap pancang tangga
4. Borang D - Notis siap tapak
5. Borang E - Permohonan bagi pengeluaran sijil kelayakan bagi pendudukan

Jadual ketiga

Undang-undang kecil 41

Jadual keempat

1. Berat bahan
2. Penggunaan-pengunaan dan beban-beban
3. Lebar minumum asas jalur

Jadual kelima

1. Ketetapan kumpulan maksud
2. Ukuran bangunan dan kompatmen

Jadual keenam

1. Bahagian 1 - Kaedah-kaedah am
2. Bahagian 2 - Kaedah-kaedah bagi hitungan dengan rujukan kepada satu segiempat bujur mengepung
3. Bahagian 3 - Kaedah-kaedah bagi hitungan dengan rujukan kepada jumlah keluasan andaian
4. Bahagian 4 - Kaedah-kaedah bagi hitungan berkenaan dengan bangunan-bangunan tertentu daripada kumpulan maksud I atau III

Jadual ketujuh

1. Jarak perjalanan maksimum
2. Hitungan beban pendudukan dan muatan pintu keluar

Jadual kelapan

Pengelasan sekatan kemerebakan api ke atas permukaan dinding dan siling

Jadual kesembilan

Had-had kompatmen dan tempoh minimum ketahanan api bagi elemen struktur

Jadual kesepuluh

Jadual mengenai kehendak-kehendak bagi sistem pemadaman api, sistem penggera dan pencahayaan kecemasan


Oklah, cukup untuk kali ini. Nak keluar pergi inspection ni.. jumpa lagi.. :)



Saturday, 8 September 2018

Pam dan Motor Sistem Sprinkler

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai pam dan motor sistem sprinkler pula. Secara amnya terdapat tiga pam bagi setiap set sistem sprinkler ini. Pam-pam ini akan digerakkan sama ada menggunakan motor elektrik atau enjin diesel. Pam-pam tersebut ialah :-


Pam Joki (Jockey Pump)

Pam ini berfungsi sebagai penstabil tekanan air di dalam paip sistem apabila berlaku sebarang kejatuhan tekanan air yang kecil. Pam ini akan bertindak dan berhenti secara automatik. Pam joki mempunyai `multi stage impeller’ dan digerakkan oleh motor elektrik. Pam joki hendaklah berhenti apabila pam utama bertindak.      

Pam Utama (Duty Pump)

Pam ini merupakan pam utama berfungsi apabila terdapat mana-mana kepala sprinkler yang pecah. Pam ini akan bertindak secara automatik dan berhenti secara automatik / manual. Pam utama digerakkan pada kebiasaannya oleh motor elektrik.      

Pam Pendua (Standby Pump)

Pam ini akan berfungsi apabila berlaku kerosakkan pada pam utama. Pam ini akan bergerak secara automatik dan berhenti secara automatik / manual.

Setiap pam hendaklah diletakkan di atas `plinth’ dan diadakan kemudahan untuk menyerap gegaran apabila pam berfungsi. Untuk pam-pam yang ditempatkan di dalam bangunan, bilik pam hendaklah diperbuat daripada struktur yang mempunyai ketahanan api sekurang-kurangnya dua (2) jam. Dalam bilik pam tidak dibenarkan sama sekali untuk kegunaan lain selain daripada penempatan pam-pam sistem kebombaan. Bilik pam perlulah di adakan kemudahan lampu kecemasan jenis kuasa tersendiri yang menggunakan bateri dan sistem pengudaraan yang mencukupi.


Sekirannya pam diesel digunakan , bateri yang digunakan hendaklah dari jenis nikel cadmiun. Paip eksos injin hendaklah disalurkan terus ke bahagian luar bangunan. Bahagian paip eksos di dalam bangunan perlulah dibaluti dengan bahan penebat yang mampu menahan kepanasan. Semua motor elektrik yang menggerakan pam mestilah mempunyai bekalan kuasa pendua yang di perolehi dari generator. Bekalan kuasa elektrik biasa yang diperolehi hendaklah di ambil terus dari `Main Distribution Board’.

Okla cukup untuk kali ini. lain kali kita sambung lagi.. good night... zzzzzzz

Sunday, 26 August 2018

Sistem Sprinkler

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai sistem sprinkler. Sebenarnya terlalu banyak skop yang perlu di cover tapi saya akan share secara general sahaja pada kali ini. Yang lebih terperinci mungkin kena tunggu buku saya.. hehe

Sistem penyembur air automatik atau sistem sprinkler merupakan satu sistem pemasangan tetap yang mempunyai bekalan air sendiri, paip, injap dan tempt pancuran untuk bertindak secara automatik. Sistem ini akan bertindak dengan cara mengesan, memberi isyarat, mengawal dan memadam kebakaran. 

Sistem sprinkler akan beroperasi pada suhu yang telah ditetapkan untuk memberi semburan air pada kawasan yang terlibat dengan kebakaran di bawahnya. Suhu operasi biasanya dipilih mengikut kesesuaian suhu persekitaran kawasan yang dilindungi. Hanya penyembur air automatik di kawasan terlibat dengan kebakaran, iaitu apabila suhu kepanasan yang cukup akan bertindak (untuk sistem basah).

Sistem sprinkler boleh dipasangkan untuk kesemua jenis kegunaan tempat kecuali kawasan-kawasan atau tempat seperti berikut;

  1. Silo atau tempat simpanan bijirin dalam bangunan yang menjadi sebahagian kilang jagung(corn mill), kilang arak (distillery) atau kilang minyak (oil mill).
  2. Oven, kilns di kilang tembikar, batu-bata, tile dan kaca.
  3. Kawasan atau bilik dimana semburan air springkler boleh mengujudkan bahaya.
  4. Tempat atau bilik yang basah seperti tandas.

Sistem sprinkler di bahagikan kepada beberapa kategori bersesuaian dengan jenis kepenggunaan sesuatu bangunan atau premis. Sekiranya sesuatu bangunan atau premis mempunyai lebih daripada satu kegunaan, maka rekaan sistem hendaklah mengikut kategori yang lebih tinggi dari kumplan kegunaan. Kepenggunaan atau sebahagiannya hendaklah di klasifikasikan seperti kategori berikut;


  1. `Light Hazard’
  2. `Ordinary Hazard’
  3. `High Hazard’

Keberkesanan sistem sprinkler ini bergantung kepada jenis kumpulan hazard dan jarak antara kepala sprinkler. Jadual di bawah menunjukkan ketinggian yang dibenarkan mengikut kategori.

Hazard 
Ketinggian 

Light Hazard
15 Meter
30 Meter
45 Meter
Ordinary Hazard Group I
15 Meter
30 Meter
45 Meter
Ordinary Hazard Group II
15 Meter
30 Meter
45 Meter
Ordinary Hazard Group III
15 Meter
30 Meter
45 Meter
Ordinary Hazard Group III Special
15 Meter
30 Meter
High Hazard
Bergantung kepada rekabentuk

okla cukup untu kali ini. lain kali kita jumpa lagi..

Saturday, 18 August 2018

Pengawasan Kebakaran

Salam sejahtera..

Kali ini saya akan berkongsi mengenai pengawasan kebakaran. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan pengawasan kebakaran? Ada berapa banyak konsep keselamatan kebakaran? Definasi konsep pengawasan kebakaran adalah satu persediaan bagi mengenali serta mengetahui masalah yang akan dihadapi sebelum, semasa dan selepas kebakaran serta merancang strategi untuk bertindak dengan lebih berkesan. Pengawasan kebakaran dari konteks kebombaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu pencegahan kebakaran dan perlindungan kebakaran.

Secara umumnya pencegahan kebakaran adalah beberapa langkah yang diambil bagi tujuan mencegah, menghadkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa semasa berlakunya kebakaran. Konsep pencegahan kebakaran terbahagi kepada tiga. Biasanya kita akan sebut konsep 3E iaitu 'Education', 'Enforcement' dan 'Engineering'.

Di bawah konsep education atau pendidikan dan latihan dalaman, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dibuat. Antaranya :-

a) mengadakan ceramah tentang bahaya kebakaran

b) penerangan tentang punca berlakunya api, cara kemerebakan api serta tindakan yang perlu dilakukan

c) penubuhan pasukan bomba, bomba sukarela dan mana-mana kawasan yang terdapat risiko kebakaran yang tinggi

d) kurikulum untuk kadet bomba sekolah

e) Kelab 3k pra sekolah

f) Latihan bersama (mork drill) - tindakan yang perlu dilakukan ketika kejadian sebenar

Dibawah konsep enforcement atau penguatkuasaan ini, terdapat tiga tugas utama pegawai penguatkuasaan iaitu :-

a) seseorang yang diwakilkan kuasa untuk menjalankan tugas-tugas penghapusan bahaya kebakaran

b) Menguatkuasakan akta 341 bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukakan bertentangan dengan akta

c) memastikan sistem pencegahan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja

Di bawah konsep engineering atau kejuruteraan pula, skopnya ialah meneliti pelan-pelan serta keperluan sistem kebombaan yang perlu dipasang (sistem pasif dan aktif) di dalam sesuatu bangunan atau premis.

Sekarang kita akan tengok pula apa yang dimaksudkan dengan perlindungan kebakaran. Perlindungan kebakaran ialah kaedah-kaedah yang digunakan untuk menghadkan kemerebakan kebakaran iaitu perlindungan pasif dan perlindungan aktif. Anda boleh rujuk post-post saya yang terdahulu mengenai perlindungan pasif dan aktif ini. Objektif perlindungan kebakaran ialah untuk keselamatan nyawa dan harta benda. 

Sempena bulan kemerdekaan ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan kepada semua. Saya juga ingin mengucapkan selamat hari raya aidiladha kepada semua yang merayakannya. Selamat hari raya maaf zahir batin.Saya rasa cukup untuk kali ini. Insha allah kita akan berjumpa di lain masa. 

Friday, 29 June 2018

Pemetakan (compartmentation)

Salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan berkongsi mengenai pemetakan. Pemetakan secara amnya termasuk di dalam rekabentuk bangunan untuk menghadkan kemerebakan api dan asap. Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan pemetakan ini? Menurut UUK 133, petak ertinya mana-mana bahagian sesuatu bangunan yang diasingkan daripada semua bahagian lain oleh satu atau lebih dinding pangsa atau lantai petak atau oleh kedua-duanya dinding dan lantai tersebut; dan bagi maksud-maksud bahagian ini, jika mana-mana bahagian tingkat atas atau sesuatu bangunan adalah dalam suatu petak, petak itu hendaklah juga termasuk sesuatu ruang bumbung di atas mana-mana bahagian tingkat atas itu.

Konsep pemetakan termasuklah:-

1. Merupakan satu perancangan bagi membendung, mengawal dan melambatkan kemerebakan api, asap dan haba, antara dua atau di dalam sesuatu bangunan

2. Pembinaan dinding dan lantai petak juga dapat menghadkan isipadu dan keluasan lantai bagi kegunaan yang tertentu berdasarkan kepada risiko kebakaran.

Fungsi pemetakan ialah :-

1. Menghadkan isipadu dan keluasan lantai

2. Mengasingkan kawasan berisiko tinggi

3. Menghadkan kemerebakan api dalam bangunan yang terbakar

4. Menjadikan kepungan dan bagi pelepasan diri

Sekarang ini kita sudah tahu mengenai konsep dan fungsi pemetakan. Mari kita lihat pula apakah faktor yang memberi kesan kepada pemetakan. Faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut :-

1. Beban pendudukan

2. Jenis atau kategori bangunan

3. Beban api

4. Ketinggian

5. Sistem aktif

Mengikut peruntukan di dalam UUK 136, semua bangunan kecuali bangunan satu tingkat daripada kumpulan maksud yang dinyatakan dalam Jadual Kelima perlu mengadakan pemetakan. Tetapi dalam Jadual Kelima juga menyatakan bagi bangunan satu tingkat, bangunan bagi kumpulan maksud II (Institusional) dan III (Kediaman lain) perlu juga mengadakan pemetakan.


Dalam menentukan had ukuran pemetakan ianya berdasarkan kepada kumpulan maksud dan ketinggian bangunan. Had ukuran pemetakan yang diperlukan adalah berdasarkan :-

i. Keluasan lantai tingkat dalam bangunan atau petak

ii. Keupayaan isipadu satu tingkat atau petak

iii. Atau kedua-duanya sekali

Sebenarnya banyak lagi skop yang perlu dilihat dan diperinci dalam menentukan keperluan pemetakan ini. Tapi untuk post kali ini kita berhenti sampai sini dulu. Jumpa lagi di lain kali...

Info penting

Salam sejahtera buat semua.. Sudah agak lama saya tidak update blog ini. Sebenarnya saya masih aktif berkongsi mengenai sistem pasif dan a...