Salam sejahtera..
Sementara menunggu kelas teknikal 101 kesalahan yang dilakukan oleh arkitek mula pada pukul 8.30 nanti, lebih baik saya menulis. Jadi dalam masa yang singkat ini, saya akan berkongsi mengenai PBA atau struktur super mega (performance based approach). Untuk pengetahuan semua, lukisan PBA ini akan diproses dan disemak di peringkat Ibupejabat JBPM Putrajaya. Tapi arkitek perlu mendapatkan kelulusan diperingkat negeri terlebih dahulu sebelum ke peringkat JBPM Putrajaya.
Secara umumnya semua pelan yang dikemukakan ke jabatan bomba akan diproses oleh Bahagian Keselamatan Kebakaran berpandukan kepada UBBL 1984 bagi menetapkan syarat-syarat keselamatan sama ada dari sudut pasif atau aktif. Tidak terkecuali juga bagi projek-projek berstatus mega.
Semua syarat-syarat tersebut merupakan syarat-syarat ‘prescriptive’ di mana ia menetapkan secara objektif semua syarat-syarat keselamatan kebakaran seperti pemetakan, jarak perjalanan, takat kemerebakan api, ketinggian bangunan dan penggunaan bahan binaan. Ia juga menetapkan secara objektif rekabentuk sistem pemadaman aktif sama ada secara automatik atau manual. Oleh kerana semua keperluan ‘prescriptive’ ini terlalu objektif, ia telah menghadkan pembinaan bangunan atau projek tersebut kepada saiz-saiz dan ketinggian tertentu.
Pada masa ini, terdapat beberapa projek mega yang dibina oleh pemaju yang mempunyai saiz, keluasan dan ketinggian serta rekabentuk yang unik dan melebihi syarat-syarat kebombaan yang ditentukan oleh UBBL 1984. Bagi mengatasi masalah ini, kaedah ‘performance based fire safety engineering design’ telah diguna pakai. Sistem kebombaan akan direkabentuk secara ‘performance base fire safety engineering’.
Sistem ini adalah alternatif kepada keperluan-keperluan ‘prescriptive’ yang ditentukan oleh UBBL 1984 atau lain-lain piawaian. Ia digunakan bagi merekabentuk melalui ‘engineering system’ semua syarat-syarat keselamatan sama ada pasif ataupun aktif seperti berikut :-
- Beban pendudukan
- Jarak perjalanan dan had jalan mati
- Penghapusan pemetakan
- Sistem pengurusan asap
- Sistem pemadaman aktif
Beberapa pendekatan telah diguna pakai seperti simulasi komputer seperti ‘computational fluid dynamic (CFD) fire risk assessment’ dan ‘design fire scenarios’ bagi menyelesaikan beberapa masalah keselamatan kebakaran sama ada secara ‘qualitative’ ataupun ‘quantitative’.
okla cukup untuk kali ini. lain kali kita jumpa lagi :)